Friday, January 22, 2010

HARTA INTELEK



HARTA DUNIA



3. BADAN YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM HARTA INTELEK

4. UNDANG-UNDANG YANG BERKAITAN

5. USAHA YANG DILAKSANAKAN

6. ISU BERKAITAN


ARTIKEL BERIKUT MENARIK UNTUK DIBACA. NAMUN BOLEHKAH MASALAH INI DISELESAIKAN?

Oleh Jenny Lanong

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Di Malaysia, perlindungan harta intelek telah bermula sejak awal 1960-an lagi dan ditadbir oleh Pejabat Pendaftaran Cap Dagangan dan Jaminhak.

Pada tahun 1983, dengan penguatkuasaan Akta Cap Dagangan 1976 dan Akta Paten 1983, nama pejabat ini ditukar kepada Pejabat Cap Dagangan dan Paten di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Harta intelek diberi perlindungan di bawah peruntukan undang-undang termasuk Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perihal Dagangan 1972, merangkumi enam bahagian iaitu Paten, Cap Dagangan, Hakcipta, Reka Bentuk Perindustrian, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk susun atur litar bersepadu.

Seterusnya pada 27 Oktober 1990, pejabat ini diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan nama Bahagian Harta Intelek (BHI).

Demi kepentingan industri harta intelek di peringkat domestik dan global, BHI telah digubal menjadi badan berkanun berikutan penguatkuasaan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 pada 3 Mac 2003 dan dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Badan ini mula menggunakan singkatan MyIPO sempena pelancaran Hari Harta Intelek Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac 2005.

PENUBUHAN MHI

Menyedari akan kepentingan harta intelek sebagai salah satu komponen pembangunan ekonomi negara, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Mahkamah Harta Intelek (MHI) pada Julai 2007 untuk menangani kes-kes berkaitan harta intelek (intellectual property, IP).

Secara amnya Malaysia merupakan antara negara yang awal di rantau ini mengambil langkah menubuhkan mahkamah seumpamanya selepas Thailand dan Indonesia.

Mahkamah Harta Intelek ini diwujudkan oleh Mahkamah Persekutuan beserta agensi kerajaan lain seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selaku sekretariat.

Mahkamah Sesyen Harta Intelek mempunyai bidang kuasa mendengar kes-kes jenayah IP sementara Mahkamah Tinggi Harta Intelek mempunyai bidang kuasa mendengar kes-kes sivil IP serta kes-kes jenayah dari Mahkamah Sesyen Harta Intelek.

Sehingga ini kerajaan telah meluluskan 21 Mahkamah Harta Intelek iaitu 15 Mahkamah Sesyen di setiap negeri termasuk satu di Putrajaya dan 6 Mahkamah Tinggi masing-masing di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak.

KEBERKESANAN MHI

Menurut Ketua Pengarah MyIPO, Kamel Mohamad, sejak ditubuhkan mahkamah ini telah berjaya menyelesaikan beberapa kes yang berkaitan harta intelek.

Kamel berkata oleh kerana mahkamah ini hanya mendengar kes-kes berkaitan IP, pelupusan kes-kes IP telah dapat ditingkatkan.

Dengan adanya mahkamah yang hanya menjurus kepada IP juga kes-kes dapat diselesaikan dalam jangka masa yang lebih singkat berbanding sebelumnya.

Pada tahun 2005, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hanya berjaya menyelesaikan 14 peratus daripada kes yang didaftarkan namun selepas MHI ditubuhkan, mahkamah ini telah berjaya menyelesaikan hampir 70 peratus daripada kes yang telah didaftarkan.

"Menurut sumber lisan yang diperolehi daripada pihak mahkamah di Kuala Lumpur, setakat Disember 2007 Mahkamah Sesyen Harta Intelek telah menyelesaikan 163 kes daripada 236 kes yang telah didaftarkan.

"Mahkamah Tinggi Harta Intelek pula telah berjaya menyelesaikan 28 kes sivil daripada 142 kes sivil yang telah didaftarkan," katanya kepada Bernama.

"Sebelum kewujudan mahkamah ini, kes-kes IP didaftarkan seperti kes-kes lain dan pendengaran kes-kes ini dilakukan mengikut giliran tarikh kes didaftarkan," katanya lagi.

Kamel juga berkata mahkamah ini dapat membantu melaksanakan penguatkuasaan terhadap kes-kes IP dengan lebih berkesan.

"Mahkamah khas seumpama ini menyediakan satu sistem yang adil dan cekap untuk mendengar, mentadbir dan memutuskan kes-kes pelanggaran IP selaras dengan perkembangan IP di negara kita," katanya.

Sementara itu, Kamel berkata penubuhan Mahkamah Harta Intelek merupakan satu pencapaian yang membanggakan kepada negara kerana ia menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam sistem perundangan berkaitan IP.

"Dengan adanya mahkamah ini, negara kita telah mengambil satu usaha yang proaktif serta komitmen yang tinggi terhadap penguatkuasaan undang-undang berkenaan IP," kata beliau lagi.

Berkenaan tahap kesedaran orang ramai terhadap kewujudan mahkamah ini, Kamel berkata memandangkan mahkamah ini masih baru maka tahap kesedaran itu masih pada tahap kajian.

"Diharapkan dengan penubuhan Mahkamah Harta Intelek di Malaysia, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial akan dapat dipertingkatkan lagi di negara kita secara keseluruhannya dan orang ramai akan lebih prihatin terhadap kepentingan harta intelek, kata Kamel.

PERLINDUNGAN HARTA INTELEK

"Harta intelek telah dikenalpasti sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan ekonomi negara dan penghasilan berterusan harta intelek akan meningkatkan aktiviti pelaburan dan perdagangan.

Maka usaha untuk melindungi harta intelek adalah mustahak," kata Kamel lagi.

Menurut Kamel, kesedaran orang ramai dalam memperjuangkan hak mereka akan memudahkan usaha kerajaan dalam memupuk budaya melindungi harta intelek di Malaysia.

Paten merujuk kepada hak eksklusif terhadap sesuatu ciptaan baru yang boleh digunakan dalam industri, proses penghasilan, ataupun penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah.

Manakala reka bentuk perindustrian melindungi hak pereka cipta terhadap aspek atau hiasan atau estetik sesuatu barang.

Reka bentuk perindustrian boleh mempunyai ciri tiga dimensi seperti bentuk atau tatarajah atau ciri dua dimensi seperti corak dan hiasan.

Cap dagangan pula membolehkan peniaga membezakan barangan dan perkhidmatan daripada seorang peniaga dengan peniaga-peniaga lain dan petunjuk geografi pula bertujuan untuk mengenalpasti dari mana sesuatu barangan berasal.

"Secara umumnya hak setiap pereka cipta diiktiraf dan dilindungi undang-undang," katanya.
--BERNAMA

No comments: