Friday, January 29, 2010

PENGANGKUTAN DI MALAYSIA


LRT LAJU BAS AJA MCM SIPUT


KTMB syor gerabak komuter ikut gender

2010/03/31


KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.

Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita dan selebihnya lelaki.

Katanya, jika keretapi komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelakkan sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Customer Service Star Award 2009" dan program Ikhlas Dari Hati di sini hari ini.

Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara di Eropah.

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.

Beliau berkata KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah keretapi lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila KTMB akan mendapat gerabak EMU baru itu, yang mampu meningkatkan jarak masa ketibaan antara satu komuter dengan satu komuter yang lain selama 7.5 minit.

"Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari," katanya.

Mengenai program Ikhlas Daripada Hati itu, beliau berkata ia adalah program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula esok hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh program itu, seluruh kakitangan KTMB akan memakai butang lencana "Ikhlas Daripada Hati" sebagai tanda komitmen dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan. - Bernama


Penduduk Kajang bosan tunggu bas

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my
2010/08/06

“Paling mengecewakan, perkhidmatan bas untuk ke bandar Kajang juga tiada menyebabkan semua penduduk di sini tiada pilihan lain selain berebut-rebut menaiki komuter yang sememangnya sesak dan sering lambat daripada jadual asal,” kata Rajendra Kumar, 31, pengguna perkhidmatan kenderaan awam yang mengeluh dengan perkhidmatan bas yang tidak memuaskan di Bandar Seri Putra, di sini.

Dia yang bekerja sebagai pekerja am mengharapkan pihak berwajib mengambil inisiatif atas masalah itu memandangkan penduduk sekitar yang bergantung pada perkhidmatan kenderaan awam menghadapi kesukaran untuk ke bandar Kajang dan Kuala Lumpur.

Andi Nur Haryati Buchari, 18, pula berkata dia akan menumpang rakan untuk ke bandar Kajang atau Kuala Lumpur memandangkan perkhidmatan bas mini dan komuter sedia ada sering sesak terutamanya pada waktu pagi dan petang.

“Kenderaan awam memang patut disediakan kerana kebanyakan urusan penting memerlukan kami untuk pergi ke Kuala Lumpur,” katanya yang bekerja sebagai jurujual di sini.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datin Naimah Ramli, berkata pihaknya akan membuat penyiasatan dan penelitian berkaitan perkhidmatan bas sedia ada di kawasan terbabit.

“Pihak kami akan mencadangkan kepada pihak bas mini yang terbabit supaya menambahkan kekerapan perkhidmatan pada waktu puncak serta melanjutkan perjalanan sehingga ke bandar Kajang.

“Lesen boleh ditawarkan kepada syarikat bas untuk memberikan perkhidmatan mereka di kawasan terbabit namun keputusan bergantung kepada syarikat bas terbabit untuk menawarkan perkhidmatan mereka di situ,” katanya.

Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati kekerapan perjalanan bas mini sangat kurang namun penumpang juga tidak begitu ramai.

Penduduk mengharapkan perkhidmatan kenderaan awam yang lebih sempurna disediakan memandangkan masih ramai penduduk di kawasan berkenaan yang bergantung sepenuhnya pada kenderaan awam untuk ke sesuatu tempat terutamanya tempat yang jauh.

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Bagi Nuha, Raya tahun ini dia tetap akan 'balik kampung' meskipun tambang bas dinaikkan.

"Kalau tak balik, nak beraya di mana?" tanya anak kelahiran Perak ini. Dia sudah bersedia untuk membayar lebih daripada RM21 yang biasa dibayar untuk perjalanan empat jam Kuala Lumpur-Taiping.

Pengumuman kenaikan tambang bas ekspres dan bas henti-henti sebelum Aidilfitri ini sudah tentunya bukan sesuatu yang dialu-alukan oleh anak kelahiran Perak ini, mahu pun mereka yang menjadi pengguna setia perkhidmatan bas.

Suka atau tidak, kenaikan ini tidak dapat dielakkan akibat kos tinggi operasi termasuk harga diesel yang naik kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen sejak kali terakhir tambang bas dinaikkan pada 2005.

Meskipun kenaikan tidak akan menjangkau 100 peratus seperti yang diminta Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), pengguna bas pasti merasa keperitan, walaupun sedikit.

Ini memandangkan kenaikan sara hidup yang semakin melonjak sejak kerajaan menaikkan harga petrol daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter dan diesel daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter awal Jun lepas.

Kenaikan bahan api itu juga melonjakkan kadar inflasi yang mencecah 7.7 peratus, tertinggi sejak 26 tahun lalu.

JADI PENGGUNA TERPAKSA

Ekoran pengstrukturan semula subsidi petrol dan diesel Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan memberi keutamaan terhadap usaha dan langkah meningkatkan sistem pengangkutan awam.

Kata beliau, liputan sistem rel transit bandar akan diperluas dan lebih banyak terminal pengangkutan awam bersepadu akan dibina.

Di samping itu, kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi juga akan ditingkatkan bagi mengurangkan penggunaan kereta persendirian khususnya di Lembah Klang.

Kenyataan itu pasti melegakan banyak pihak khususnya mereka yang bakal menjadi 'pengguna terpaksa' pengangkutan awam kerana tidak dapat lagi menanggung kos tinggi membeli petrol.

Alasan "tidak selesa", "leceh" dan "lambat" yang sering digunakan kepada soalan mengapa tidak menggunakan pengangkutan awam, mungkin tidak akan kedengaran lagi.

TREND MEMBIMBANGKAN

Mungkin juga ada yang tidak menghiraukan kenaikan harga petrol ini dan masih menyimpan angan-angan untuk memiliki kenderaan sendiri. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pernah menjalankan tinjauan mengenai pengangkutan awam sebelum kenaikan harga petrol.

Tinjauan yang dibuat ke atas 1,000 orang belia, antaranya adalah untuk melihat trend masa depan penggunaan pengangkutan.

Daripada 1,000 responden, 26 peratus menggunakan pengangkutan awam sementara yang lain menggunakan kereta ibu bapa atau mempunyai kereta sendiri. Kesemua responden lebih suka mempunyai kereta sendiri.

Bagi Fomca, trend berkenaan membimbangkan. "Apakah jalan raya kita boleh menampung pertambahan kenderaan yang banyak dan apakah kita mempunyai cukup petrol untuk menggerakkan kereta-kereta ini?" soal Presiden Fomca, Datuk N. Marimuthu.

Bagi beliau, yang membimbangkan lagi ialah golongan belia yang juga bakal pemimpin masa depan menjadikan pemilikan kereta sendiri sebagai matlamat hidup mereka.

"Kalau begitulah pendirian mereka, apalah agaknya nanti dasar kerajaan di masa depan?" soalnya.

PERLU PENGANGKUTAN AWAM YANG LEBIH BAIK

Walau apa pun senarionya, Marimuthu berkata Malaysia memerlukan sistem pengangkutan yang lebih baik supaya rakyat dapat menggunakan pengangkutan awam secara lancar dan tersusun.

Beliau yang juga kerap menggunakan pengangkutan awam terutamanya tren Transit Aliran Ringan (LRT) mempunyai satu senarai sebab mengapa pengangkutan awam di Malaysia dipinggirkan oleh sesetengah pengguna. "Pengguna mahukan persekitaran yang selesa ketika berada dalam pengangkutan awam. Perasaan selesa ini adalah faktor penarik. Ketidakselesaan akan menjadi faktor penolak.

"Keselesaan mesti diletakkan sebagai komponen penting dalam industri pengangkutan. Keadaan yang bersesak-sesak seperti tin sardin perlu dielakkan. Pengusaha pengangkutan perlu membuat unjuran pertumbuhan dari segi bilangan pengguna bagi mengelakkan keadaan itu," kata Marimuthu kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket atau bagi sesetengah bas, pemandu adalah penjual tiket. Khidmat yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu menjadi petunjuk yang menjamin pengguna akan terus menggunakan satu-satu pengangkutan awam itu.

"Dalam kebanyakan kes, mereka yang menggunakan pengangkutan ini mungkin tidak akan sampai ke tempat yang dituju pada waktu yang diperlukan.

"Kegagalan itu akan menyebabkan pengguna menjadi tawar hati. Ramai juga yang berhenti menggunakannya kerana keadaan yang bersesak-sesak pada waktu puncak," jelas Marimuthu.

PERLU PENYELENGGARAAN KERAP

Untuk memberikan perkhidmatan yang memuaskan, pengangkutan awam perlu diselenggara dengan baik. Cuma, seperti kata Presiden Fomca ini, budaya penyenggaraan di negara ini tidak menunjukkan rekod yang baik.

"Penyenggaraan berjadual, penyenggaraan pencegahan dan pembaikan adalah sebahagian daripada pengurusan operasi penyedia perkhidmatan. Ini perlu dirancang dan diperiksa bukan sahaja untuk keselamatan tetapi juga kebolehpercayaan," jelasnya.

Marimuthu berkata apabila permintaan untuk pengangkutan awam semakin meningkat, pembaikan atau meningkatkan teknologi penyenggaraan adalah penting.

Dalam masa yang sama, beliau berkata penting juga untuk memilih teknologi yang tepat dan sesuai bagi menampung permintaan penyenggaraan dan memastikan keberkesanannya.

CADANGAN FOMCA

Beliau berkata satu dasar bersepadu diperlukan untuk menggariskan masa depan sektor pengangkutan negara.

Dasar berkenaan perlu mengambil kira semua dasar yang ada dan membuat integrasi untuk memastikan kelancaran pelaksanaan.

Proses membangunkan dasar bersepadu ini juga perlu membabitkan penyertaan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam sektor pengangkutan supaya suara dan pandangan mereka diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Dalam soal menangani isu pengangkutan, Marimuthu berpendapat ia perlu diuruskan oleh sebuah pertubuhan sahaja.

Beliau turut mencadangkan Sistem Pengangkutan Berintegrasi (ITS) yang dapat menyelesaikan isu pengangkutan awam di negara ini.

APA DIA ITS

ITS yang menurut Marimuthu berasaskan model sistem pengangkutan awam Singapura dan Jepun, membabitkan satu sistem bagi semua pengangkutan dengan beberapa pengusaha.

Cadangan Fomca mengenai ITS ini, katanya, dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan juga jawatankuasa kecil kabinet mengenai pengangkutan awam.

"Idea ini mungkin seakan sama dengan RapidKL tetapi apa yang diperlukan ialah lebih banyak peringkat disediakan untuk mengumpul penumpang dan ini yang boleh ditangani sepenuhnya oleh RapidKL.

"Pengguna tak kisah berjalan 100 atau 200 meter untuk naik bas tetapi apa yang dikehendakkinya ialah dia boleh sampai ke destinasinya dengan lebih pantas dengan menggunakan pengangkutan awam berbanding jika dia menggunakan eknderaan sendiri," jelasnya.

Di bawah sistem ITS, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih syarikat berdasarkan kepuasan perkhidmatan.

Di bawah sistem satu bumbung ini juga, terdapat jaringan antara perkhidmatan pengangkutan utama dengan perkhidmatan pengangkutan sokongan bagi kemudahan pengguna.

"Apa yang perlu dipastikan ialah tidak ada monopoli di bawah sistem ITS ini sebaliknya ia mesti berasaskan persaingan sihat," kata Marimuthu.

Bagi memastikan perjalanan sistem yang lancar, beliau berkata penguatkuasaan diperlukan untuk mutu perkhidmatan dan aspek keselamatan.

"Mana-mana syarikat yang tidak menepati peraturan atau menerima aduan terbanyak perlu dibatalkan lesen," jelas beliau.


-- BERNAMA


PERSEDIAAN P&P




1. SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT


2. MASALAH YANG DIHADAPI PENGANGKUTAN AWAM DARAT


3. HALA TUJU PENGANKUTAN AWAM BANDAR


4. CONTOH KAJIAN PENGANGKUTAN DI BANDAR : ISU DAN PENYELESAIAN


5. LANGKAH MENGATASI MASALAH







No comments: