Friday, January 29, 2010

PLKN

SATU HASRAT, SATU SEMANGAT, SATU TEKAD

TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA SEMUA PELAJAR TERPILIH UNTUK MELALUI PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA!

PLKN bukanlah satu bentuk latihan kerahan tenaga seperti yang dilaksanakan di Singapura. Malah latihan acuan Malaysia ini sebenarnya bertujuan untuk menangani beberapa masalah yang dihadapi negara dan masalah ini sebenarnya merupakan ancaman utama kepada kestabilan negara iaitu ancaman perkauman dan juga kehilangan jati diri dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja dan belia.

PLKN memberi kesedaran kepada peserta untuk melihat kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Seperti yang kita semua tahu, perpaduan penting bagi menjana perkembangan ekonomi dan politik negara. Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Namun begitu, tidak semua kaum ini berpeluang untuk berinteraksi sesama mereka disebabkan oleh beberapa jurang yang wujud seperti jurang petempatan penduduk dan juga jurang ekonomi. Sebagai contoh, di kawasan bandar dan di kawasan elit terdapat ramai penduduknya dari kalangan kaum Cina manakala di kawasan pinggir bandar dan kawasan kampung pula terdapat lebih ramai kaum Melayu dan India. Jika interaksi sesama kaum ini kurang, maka tidak hairanlah jika terdapatnya perasaan syak wasangka dan benci membenci wujud dalam kalangan masyarakat. Justeru, PLKN sebenarnya memberi peluang kepada masyarakat terutamanya golongan belia untuk berinteraksi sesama mereka mamandangkan bahawa mereka berpeluang untuk bercampurgaul dengan peserta daripada pelbagai kaum dan pelusok negara serta turut diberi modul-modul berkaitan konsep kenegaraan Malaysia. usaha ini sudah pasti mampu mewujudkan intergrasi antara kaum.

Perwatakan positif dan nilai-nilai murni diharapkan dapat diterapkan melalui PLKN. Maklumlah... remaja... Remaja cenderung untuk melakukan perbuatan yang negatif dan membuang masa seperti terlibat dalam gejala dadah, melepak dan lain-lain lagi. Mereka juga cenderung untuk terikut budaya negatif seperti pergaulan bebas yang boleh membawa kepada masalah pembuangan anak. Semua unsur negatif ini mestilah ditegah melalui program khusus seperti PLKN. PLKN dapat membuka mata remaja akan impak terbuai dalam tabiat buruk yang akhirnya membawa kepada kemusnahan diri sendiri. Lawatan ke rumah orang tua, program pembersihan sungan dan kawasan tepi pantai merupakan antara aktiviti yang membantu memupuk sikap positif dalam kalangan remaja.

Tambahan lagi, pemupukan nilai seperti ini sudah pasti dapat menegah masalah jati diri dalam kalangan remaja yang seringkali mangagungkan kehidupan hedonisme barat. Mereka perlu disedarkan bahawa kehidupan atas dasar keseronokan semata-mata tanpa panduan kehidupan yang sebenarnya merupakan satu bentuk kehidupan yang sia-sia. Remaja harus disedarkan dengan matlamat insan untuk hidup di dunia ini.

Terdapat banyak isu yang dikupas berkaitan topik ini. Namun begitu, apa yang penting di sini ialah kerjasama daripada masyarakat dalam menjayakan matlamat pelaksanaan program ini. Janganlah pula isu murni ini dipolitikkan. Ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan yang penting dalam memberi galakan kepada anak-anak untuk menyertai program ini dan bukanlah dengan mencari pelbagai alasan untuk mengelakkan anak menghadiri 'panggilan terhormat' ini.

1 Malaysia 1 Matlamat dan sudah pasti semua dapat faedahnya melalui PLKN.





No comments: